Gurauan ada hadnya, apatah lagi sesuatu yang boleh memberi kesan negatif pada anak.Tak tahulah apa yang ada dalam fikiran seorang ayah, apabila tergamak memberi anaknya, bayi yang baru berusia sembilan bulan menghisap rokok! Tak kiralah apa juga alasan, perkara ini bukanlah satu gurauan yang boleh diterima sama sekali.
Kejadian yang berlaku di Surabaya, media sosial di Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan gambar bayi sembilan bulan sedang menghisap rokok.
Foto dengan kapsyen ‘Hembuskanlah nak selagi bapa belum melarang’ memaparkan bayi itu diberikan rokok yang menyala dimuat naik pemilik akaun Facebook, Renigetd Agu Mrajalela turut menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ibu kepada bayi itu dikenali sebagai Ummu, 18, dipercayai mengambil gambar perbuatan tidak bertanggungjawab suaminya, Muzammil, 36, ke atas anak mereka.
Ditahan & Disoal Siasat
Susulan insiden itu, pasangan suami isteri yang merupakan penduduk Desa Tlomar, Kecamatan Tanah Merah, Bangkalan Madura telah ditahan dan disoal siasat pihak berkuasa selain turut diberi amaran keras serta diminta tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut.
Pasangan tersebut mengaku memberi rokok kepada bayi mereka pada 17 Februari lalu dan turut memuat naik gambar itu di Facebook.
Sementara itu, Suruhanjaya Perlindungan Kanak-kanak Indonesia (KPAI) menyelar tindakan suami isteri itu walaupun niat mereka hanya bergurau.
Ingatnya mak ayah, jadikan kisah ini sebagai pengajaran. Gurauan biar berpatutan dan ada batasannya.Tak pasal-pasal dedahkan anak pada asap rokok yang boleh membahayakan kesihatan.